Rabu, 24 Februari 2010

Eksperimen Air, Kicap, dan Hati

Salam perjuangan buat saudara saudari sekalian. Apa khabar diri kalian? Apa khabar iman kalian?

Semoga sentiasa dalam jagaan kedua-duanya. Kalian sudah makan? Minum? Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah atas segala rezeki yang dikurniakanNya kepada kita.

Kali ini, mari sama-sama kita jalankan satu eksperimen sambil mendekatkan diri kepada Allah.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah gelas kaca, air masak, kicap, dan sehelai wang kertas.

Langkah 1:

Tuangkan air masak ke dalam gelas kaca sehingga lebih daripada separuh.

Langkah 2:

Ambil wang kertas dan lihat siri nombornya menerusi gelas berisi air tadi.

Caranya ialah dengan meletakkan wang kertas di bahagian belakang gelas, dan lihat menerusi gelas berisi air dari bahagian hadapan.


Langkah 3:

Sekiranya anda dapat melihat siri nombor wang kertas tersebut, catatkannya dan semak semula.

Langkah 4:

Fikirkan beberapa perbuatan dosa tidak kira dosa kecil atau pun dosa besar yang kerap atau pernah anda lakukan.

Langkah 5:

Sebutkan perbuatan dosa tersebut sambil titiskan kicap ke dalam gelas berisi air tadi.

Untuk setiap dosa kecil, titiskan kicap sekali sahaja, manakala untuk setiap dosa besar, titiskan sebanyak tiga kali. Untuk dosa kecil yang anda lakukan berulang kali, titiskan kicap sebanyak tiga kali sahaja.

Langkah 6:

Ulang langkah 2 dan 3 dengan menggunakan air yang telah dititiskan kicap tadi.

Bagi memastikan saudara saudari menjalankan eksperimen ini di rumah, keputusan eksperimen tidak akan disertakan di sini, tetapi saudara saudari sekalian perlu menyatakan keputusan eksperimen yang saudara saudari buat di bahagian komen untuk dikongsi bersama.

Selain keputusan, saudara saudari juga boleh nyatakan jenis-jenis dosa yang biasa kita buat serta nilai dan pengajaran yang boleh diambil daripada eksperimen tersebut.

Selamat mencuba! Lets do it!

Qailulah Yang Tersirat


Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi :
"Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah SallAllahu Alaihi wasallam ada melakukannya."

Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata :
"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai satu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.

Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang
(day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.
Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca industri telah mendapati bahawa 92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti.
(Napping News : 'Scientific Proof Confirms : Napping Enhances Worker Productivity,' from eFuse)


Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai
'a midafternoon quiescent phase' atau 'a secondary sleep gate'.
Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini adalah Dr.William A.Anthony, Ph.D. dan Camille W.Anthony, pengarang buku
'The Art of Napping at Work'. Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavior and Medical Aspects of Napping'.

Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam.
(Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com)
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi SallAllahu Alaihi Wasallam rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.

Rahsia Sujud : Perkembangan Otak

Di dalam Majalah Buletin Bulanan MICNA, jurucakap persatuan ini membuat kenyataan bahawa;

"Darah akan memasuki bahagian urat tersebut mengikut kadar solat yang telah diwajibkan oleh Islam".

Ini diakui sendiri oleh seorang doktor neurologi di Amerika Syarikat yang telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban di dalam penyelidikannya itu. Doktor tersebut mendapati dalam kajiannya urat pada saraf manusia memerlukan darah untuk beberapa
sukatan tertentu sahaja.

Doktor neurologi tersebut tertarik untuk memeluk Islam semasa membuat kajian saraf yang dilakukan, iaitu terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia tidak dimasuki darah walaupun sepatutnya setiap inci otak manusia memerlukan darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.

Kini doktor tersebut memeluk Islam dan beliau telah membuka sebuah klinik yang bertemakan
"Perubatan melalui- Al-Quran". Beliau juga membuat ubat-ubatan berdasarkan kajian melalui Al-Quran dan Hadis Nabawi. Di antara kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black Seed).

Manusia yang tidak bersembahyang apatah lagi yang bukan Islam, walaupun akal mereka berfungsi secara normal tetapi sebenarnya mereka akan hilang pertimbangan apabila membuat keputusan secara normal.

Justeru itu, tidak hairan ada di antara manusia kadang-kadang tidak segan silu untuk melakukan perkara bertentangan dengan fitrah kejadiannya walaupun akal mereka mengetahui perkara yang akan dilakukan adalah salah.

"Ini kerana otak mereka tidak boleh mempertimbangkannya secara normal"

Untukmu Muhammad (Puisi sempena maulidur rasul)

Nur itu turun menerangi,
Membuka lipatan sejarah,
Makkah bersinar memalapkan api majusi,
Hamparan diri merendah sujud menghadap Ilahi,
Di bahu-Mu hujan maha lebat membasahi,
T
ugasan mendatang diiring sarat zikir malaikat,
Cakerawala tersenyum lambang diri kami,
Akulah kami penuh pengharapan.

Nur itu turun menerangi lagi,
Menyampaikan mukjizat kalam pertama, Iqra!!!
Muhammad diam...bungkam dalam kelamnya hira’,
Membalut lembar selimut meliputi tubuh,
Khadijah menggunung sayang mengusapi peluh,
Membuang segala makruh,
Lalu iqra’ pun mengalir,
Di bibir para sahabat,
Di lidah membasahi hati para syuhada’,
Dalam debu melingkar nurani anbia’,
Semesta terang menembus langit dipasak sinar al-quran dan as-sunnah,
Tumpah membasahi lautan ummah,
Akulah ummah.

Kini nur itu turun lagi menerangi,
Menghampar masa membuka gapura cerita,
Cerita sayu umatnya yang menderita,
Akulah ummat Muhammad,
Menghampakan Muhammad di sana yang menangis hiba.

Refleksi Bertunang Semasa Belajar

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ustaz, saya ingin tanya satu soalan”.
Mesej offline tiba-tiba muncul, sebaik sahaja penulis sign-in yahoo messenger.
“Just ingin minta pendapat sahaja”.
“Saya ada berkawan dengan seorang lelaki dan dia juga merupakan pelajar di luar negara dalam Pengajian Islam. Dia mahu kami bertunang dalam fatrah kami masih student. Tapi saya tidak setuju, sebab kalau boleh saya nak habiskan belajar dahulu. Macam-macam alasan saya beritahu kepadanya untuk kebaikan bersama”
,
tambah beliau (seorang perempuan yang disembunyikan identiti) lagi.


Dialog santai ini penulis terima dua minggu lepas, selepas usai menunaikan solat subuh di Masjid Syarifuddin El-Kurd. Ada beberapa tambahan kata-kata daripadanya, yang mana terkesan membaca beberapa sisipan artikel yang diterbitkan sebelum ini. Mungkin soalan nampak biasa-biasa sahaja, namun jenuh juga untuk menjawab mengikut situasi semasa. Kena tengok banyak sudut, baik dari sisi manfaat atau kesan buruk bila berlaku sedemikian. Boleh katakan kebanyakan dan lambakan e-mail yang penulis terima daripada para pembaca, adalah feedback daripada labels ‘Keluarga Bahagia’. Berpeluh juga kalau fikir-fikirkan.

Kita semua akur dengan selera dan kehendak naluri insan terhadap pasangan idaman. Kita sedari bahawa sifat pasangan yang dianjuran Islam merupakan satu bentuk ‘ilmu dalam pencarian’ yang lazim diketahui umum. Bahkan lelaki yang jahat sekalipun biasanya berharap untuk mendapatkan isteri yang solehah. Namun hakikatnya pertimbangan akhlak mulia yang disarankan agama biasanya tewas apabila ukuran fizikal telah mengelabui mata. Lelaki kebiasaannya akan memilih wanita yang cantik walaupun lidahnya menuturkan keinginan mendapatkan isteri yang solehah. Solehah seorang wanita sering kali tewas bila wajah tidak semanis budi. Itu hakikatnya nafsu lelaki.

Walau apapun, tergerak juga rasa hati anda sudah sampai untuk melabuhkan tirai bujang, sebetulnya anda berhak perolehi satu pujian selepas melihat kondisi dan beberapa faktor yang memungkin anda berbuat sedemikian. Tahniah! Nabi bersabda; "Apabila datang kepadamu seorang lelaki, datang untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya. Maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi" ,(Hadith Riwayat Termidzi dan Ahmad) .

Definisi Pertunangan daripada Kaca Mata Islam

Ikatan sementara sebelum berlangsungnya sebuah akad nikah ini, sering kali disalah anggap oleh khalayak orang ramai khususnya muda-mudi. Seolah-olah simpulan ini menjadi ‘lesen besar’ untuk melakukan maksiat, dengan alasan ‘kami sudah bertunang’. Justeru, sangat perlu kepada semua pasangan yang ingin atau sudah bertunang mengetahui hak dan batas-batas sempadan syariat sebelum sebuah ikatan yang hak, benar-benar terpatri. Islam telah mensyariatkan pertunangan sebagai langkah dan wasilah sebelum melangsungkan perkahwinan. Pertunangan banyak memberi faedah dan membantu dalam menjamin keutuhan rumahtangga yang bakal dibina. Namun roh sebenar sebuah ikatan ini merupakan subjektif yang memerlukan kefahaman yang jitu, dan harus dijaga agar kesuciannya tidak dinodai.


Pertunangan ialah satu langkah bagi seorang lelaki menyampaikan keinginannya untuk mengahwini seseorang perempuan yang disukainya samada langsung kepada perempuan tersebut atau kepada walinya. Ianya boleh dilakukan secara langsung oleh lelaki yang hendak berkahwin atau melalui wakilnya. Sekiranya hasrat hati lelaki itu diterima oleh perempuan berkenaan maka mereka menjadi pasangan tunang. Bermula dengan penerimaan wanita yang berkenaan sehinggalah masa Ijab dan Qabul, inilah yang dinamakan sebagai tempoh pertunangan. Sebelum lelaki meminang seseorang perempuan, penting untuk dia merisik dan menyelidik latar belakang perempuan yang ingin dipinangnya terlebih dahulu serta yakin dengan pilihannya setelah melakukan Istikharah dan sebagainya. Yakin dengan pilihan pasangan ini sangat penting untuk mengelakkan pinangan yang dibuat ditarik balik. Ini kerana tindakan seperti ini akan menyakiti hati wanita, melukai perasaannya dan menjatuhkan kehormatannya. Tindakan seperti ini tidak dibenarkan oleh agama dan bertentangan dengan nilai murni dalam masyarakat Islam.

Namun jika sepanjang tempoh pertunangan tersebut bertaut, mungkin kekurangan yang dirasakan oleh pihak lelaki, maklumlah pertunangan ini juga boleh dianggap fasa untuk berkenalan dengan lebih dekat bakal pasangan sebelum betul-betul matang dan masak untuk mendirikan masjid. Bukan menolak pinangan, maksud penulis memutuskan talian pertunangan, iaitu ketika sedang bertunang. Jika berlaku juga, maka hendaklah di pihak lelaki menyembunyikan kekurangan atau kelemahan bekas tunangnya itu, bagi mengelakkan rasa aib pada diri dan ahli keluarganya. Bagi pasangan yang bertunang mereka juga perlu menjaga batas dan larangan sepanjang bertunang kerana mereka masih lagi bukan mahram cuma ada ikatan dan janji mahu hidup bersama. Kononnya, kata orang-orang dulu ‘Mahu hidup semati’. Mungkin sudah ada dalam senyap-senyap, dikalangan para pembaca yang merancang untuk melangsungkan pertunangan. ‘Mata air’ di tanah air, diri pula di perantauan. Rasa macam tak boleh tahan, bimbang ‘si dia’ dikebas lelaki lain. Tidak pasal-pasal mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur pula asyik mimpi ‘si dia’ sahaja, dan baca pun tak masuk. Rasa marah kadang-kadang pun ada. Sudah nasib badan.

“Boleh ke ustaz, bertunang masa belajar?”. “Nanti bila dah bertunang, lepas tu masing-masing ada komitmen dengan pengajian masing-masing sehingga berlanjutan sampai bertahun-tahun. Lama tu, kan makruh!”. Kalau nak mudah jawab, boleh sahaja penulis katakan; “Tu…! Tengok je orang kahwin ketika masih belajar, tidak ada apa-apa pun. Inikan pula bertunang. Bertunanglah, kalau nak sangat”. “Itukan sunnah juga. Kenapa nak takut sangat”. Mungkin anda pun boleh meneka juga jawapan seperti di atas, sudah maklum katakan. Tapi mungkin juga ada betulnya, dari sisi yang lain akan timbul kesan-kesan yang tidak baik. Namun penulis menganggap ianya salah satu bentuk ujian, kenalah tabah dan sabar hadapinya. Penulis rasa tidak ada masalah, jika tempoh masa pertunangan tersebut lama. Lama dalam erti kata lain, kerana terkesan sibuk dengan tugasan, seperti pengajian dan sebagainya. Sebagai contoh, Kalau bertunang dua tahun, sorang sibuk kerja dengan pelbagai aktiviti, manakala sorang lagi sibuk dengan pengajian di bidang perubatan umpamanya. Rasanya dua tahun tu sekejap aje, especially untuk pihak lelaki yang bertanggungjawab nak prepare macam-macam. Tapi kalau bertunang sampai enam bulan, kerja satu pejabat, duduk ditempat semacam cubicle mengadap antara satu dan lain. Hari-hari pula tu jumpa sehingga kenal ‘lobang’ dan bulu hidung, manakala rambut pula tak disikat pun boleh perasan enam bulan tu panjang dan lagi berisiko. Menolak tafsiran tekstual dan robotik. Namun di sana, anda kenalah sahut cabarannya juga. Kenapa? Bagi penulis, ramai yang mengatakan mereka cuba menjaga tetapi terperangkap dalam masalah hati, iaitu zina hati yang ‘Islamik Romantik’. Berbaur Islam, tetapi membawa kepada masalah penyakit hati yang parah dan kronik. Pandai-pandai jaga.

Matlamat Utama Jadi Sandaran

Konsep pertunangan yang semakin terasing dari kehidupan masyarakat kita sekarang. Pada penulis, kawalan diri kita tu paling utama. Kuat atau seseorang itu bergantung kepada keimanannya. Di sinilah, Iman ditugaskan menjadi sebagai remote control bagi perlakuan kita. Jadilah remote control yang efektif. Pandai-pandai kawal, bukan dengan nafsu tapi Iman. Sebaiknya kita tetapkan hati, pendirian dan bersederhana. InsayaAllah, kalau kedua-dua pihak memahami tujuan sebenar perkahwinan, mengikut saluran yang sebenarnya, mengambil jalan sederhana dan wara’ dalam menjaga batasan, insyaAllah semuanya baik dan tenang sahaja. Menyerahkan urusan kepada kedua ibu bapa juga membantu melancarkan proses secara all rounder. Mungkin bagi sesetengah indivudu, banyak cabaran semasa bertunang, setengah yang lain biasa-biasa sahaja. Semuanya sesuai dengan apa yang Allah Taala berikan. Apa yang baik disyukuri, dan yang kurang diredhai. Baru betul! Berhubung antara pasangan tunang perlu juga diperhatikan, melainkan keperluan tentang perancangan yang penting. Sebaiknya dielakkan telefon kecuali bagi yang benar-benar mantap dan boleh menjaga hati serta tiada jalan lain untuk berbincang hingga ke rumah, itupun dengan parents atau orang tengah. Juga fokuskan kepada perancangan perkahwinan dan selfi mprovement.


Sebab ramai yang asyik dan mabuk di alam pertunangan, namun terlupa nak mempersiapkan diri untuk alam rumahtangga yang lebih penting lagi. Usah difikirkan banyak tentang hal ini, nanti lain pula jadinya. Jangan dilayan perasaan semasa bertunang. Fokuskan kepada kehidupan yang sedang dijalani dan diperjudikan sekarang. Berhubung dengan minimakan seminimanya. InsyaAllah, tiada resah gulana, dan tiada masalah. Bertunang adalah satu wasilah. Cinta bukan segala-galanya. Namun segalanya yang dimulai dengan niat yang ikhlas, cara yang betul dan barakah akan menimbulkan dan memutikkan cinta yang sewajarnya selepas perkahwinan. Kita kena dan perlu ingat! Naluri seorang ibu sungguh bernilai bagi seorang anak. Cuba jentik hati anda. Adakah kita maksum dari segala dosa noda? Sekarang ini kita berjauhan dari kedua orang tua kerana seberkas ilmu. Pengorbanan perlu dilakukan demi kebahagian masa hadapan diri dan mereka. Layakkah kita mencari dan bertemu jodoh yang dapat dibimbing dan membimbing? Tapi memang itu harapan anda, kita semua. Selain mendapat pasangan yang mampu dibimbing dan membimbing kita, restu ibu bapa amatlah penting dalam membina masjid. Tidak perlulah kita membelakangi mereka hanya kerana cinta. Cinta yang entah ‘suci dalam debu’ atau ‘suci dalam asap’. Kenanglah pengorbanan mereka yang tidak terbalas walaupun segunung emas menjadi taruhan. Bukan lirik lagu semata-mata, tapi sebuah harapan.

Berhubungan semasa di alam pertunangan bukan tiket bagi kita untuk bergerak bebas dengan tunang. Ingat! Sekarang orang yang ber‘couple’ pun sudah berlagak seperti suami isteri dan lupa dunia. Tanyakan diri anda (kita), kemanakah kewarasan kita dalam membuat pertimbangan? semoga Allah Taala masih memberi kita ruang waktu untuk bertaubat di hamparan keheningan malam dengan penuh kehinaan. Pohonlah keampunan dari-NYA.

Allah Taala berfirman; “Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran” ,el-Baqarah (2:186) ameen.

Coretan Untuk Bakal Isteri

Assalamualaikum wrt. wbt.

Untukmu, Bakal isteriku..

Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Acap kali aku mendengar bahawa ungkapan "Kau tercipta untukku."

Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah ini kerana diselubungi jahiliyah. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tangungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu.

Aku mahukan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan 'sempurna' di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.

Apabila diriku memakai kopiah, aku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah, digelar syeikh. Lidahku mengajak manusia ke arah makruf digelar daie. Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana perawakanku dan perwatakanku. Baik yang indah berhijab atau yang ketat bert-shirt, semuanya singgah disisiku. Aku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan dari fitnah ini. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita."

Aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya. Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku. Sukar untuk mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan ke’solehah’anmu. Janji Allah pasti kupegang dalam misi mencari dirimu. "Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik."

Jiwa remaja ku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran wanita amat terasa untuk berada di sisi. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu. Di sana engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana. Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora kejantananku disamping aku mengajukan sendiri doa diperlindungi diri.

Bukan harta,rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.

"Kahwinilah isteri kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.” Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.

Dariku, Bakal suamimu.

Luahan Kasih Buat Kekasih

Islam merupakan agama yang syumul mencangkupi semua masyarakat dan bidang semenjak insan yang pertama Adam a.s sehinggalah Nabi utusan akhir zaman Muhammad S.A.W. Islam merupakan sebuah agama yang cukup lengkap. Islam tidak mungkin menyekat fitrah manusia yang sememangnya ingin mencintai dan dicintai. Untuk apa Allah Taala menciptakan manusia mempunyai fitrah seperti ini jika manusia akan diperintahkan untuk membunuh fitrahnya itu?

Ajaran Islam telah diturunkan oleh Allah Taala untuk memasang bingkai agar kemahuan manusia itu dapat disalurkan dengan cara yang terbaik. Selain itu, Islam menutup rapat jalan kemaksiatan dan membuka seluas-luasnya jalan menuju ketaatan serta memberi dorongan kuat ke arah perlaksanaannya. Rasulullah S.A.W pernah mengecam salah seorang sahabat yang bertekad untuk tidak berkahwin. Ini merupakan salah satu bukti bahawa Islam mengakui dan mengiktiraf fitrah manusia yang ingin mendambakan cinta. Namun persoalannya, bagaimana cara terbaik untuk menyalurkan cinta suci ini selari dengan kehendak Allah Taala dan Rasulullah S.A.W mengikut era semasa?

Percintaan dalam Islam hanyalah selepas termeterainya sebuah ikatan pernikahan antara dua insan, iaitu selepas lafaz Ijab dan Qabul. Islam telah menggariskan suatu panduan dalam menuju ke arah gerbang perkahwinan ini dengan cara lebih selamat. Sebenarnya dalam Islam, apabila seseorang lelaki itu telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikan teman hidup, sepatutnya lelaki itu berjumpa dengan wali si perempuan tadi bagi menyatakan niatnya untuk masuk meminang. Tetapi masyarakat sekarang silap. Mereka terus berjumpa dengan tuan empunya diri dan terus menyatakan niat hati. Kemudian mereka bercinta, berjanji sumpah setia dan berkenalan dalam masa terlalu lama. Sedangkan ibu bapa mereka langsung tidak tahu akan perhubungan mereka ini. Setelah sekian lama bercinta, apabila ingin melangsungkan perkahwinan, emak dan ayah tidak bersetuju dengan pilihan hati. Akhirnya mengakibatkan hubungan kekeluargaan menjadi keruh. Terlebih malang tidak mendapat kerestuan ibu bapa, maka jauhlah keberkatan hidup si anak.

Oleh itu, selepas menyatakan niat kepada ibu bapa, mereka akan berjumpa sendiri dengan wali perempuan tadi untuk mengenali mereka dan calon menantu mereka dengan lebih jelas. Setelah kedua-dua pihak bersetuju, barulah dijalankan upacara peminangan, iaitu kedua-dua insan tadi akan diikat menjadi pasangan tunang. Apabila sudah menjadi tunangan orang, adalah haram perempuan itu dipinang oleh lelaki lain, seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W dalam hadith baginda. Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan perempuan tadi akan saling mengenali antara satu-sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar atau sebaliknya. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan. Namun begitu bertunang bukan merupakan satu tiket yang membenarkan kedua-dua pasangan bermesraan seperti pasangan suami isteri. Bertunang hanyalah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan bukannya untuk bercinta. Pasangan yang telah bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan tanpa ditemani oleh ahli keluarga atau mahramnya. Selagi belum bernikah, mereka tetap dua insan yang bukan mahram dan masih perlu menjaga batasan-batasan syara'. Jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan boleh diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak.

Bolehkah Bercinta Sebelum Kahwin?

Secara kasarnya ada sesetengah ulama’ menganggap bercinta itu halal (harus) tetapi jumhur ulama’ lain pula menganggap haram. Bagaimanapun dikalangan ulama’ fiqh terdapat beberapa ulama’ yang merupakan ahli pencinta yang hebat seperti Daud az Zahiri yang merupakan Imam Mazhab az Zahiri.
Baiklah, penulis akan mengungkapkan beberapa hujah di sebalik bercinta sebelum berkahwin dibolehkan dan diharamkan, namun keputusan terakhir adalah berdasarkan pertimbangan akal yang sihat, di mana melihat isu ini mengikut kesesuaian diri masing-masing.


Pandangan pertama: Bercinta merupakan antara fitrah insani penting dalam kehidupan. Tiada siapa yang dapat lari daripada ber-couple dan bercinta walaupun cara dan kaedah mereka nampak Islamik (menjaga hawa nafsu dari maksiat), termasuk mereka yang bercinta selepas berkahwin. Hal ini kerana mereka yang bercinta selepas berkahwin akan melihat bakal isteri sebelum Ijab dan Qabul. Jika bercinta dianggap sebagai mukaddimah pada perkahwinan, maka ber-couple (kaedah Islamik) pula dianggap sebagai mukaddimah pada bercinta. Kedua-dua ini berkait antara satu sama lain, kecuali bagi mereka berkahwin atas pilihan keluarga. Ber-couple yang penulis maksudkan ialah bukan berdua-duaan sehingga timbul fitnah antara lelaki dan perempuan bukan mahram, tetapi hanya sekadar ingin menyatakan luahan hati dan bersedia mengambil pasangan masing-masing sebagai calon suami dan isteri. Jangan salah andaian. Bercinta dianggap berguna jika dapat membawa pada kebaikan kepada kedua-dua pasangan. Sebagai contoh ber-couple dan bercinta yang disusuli dengan perkahwinan dan mendirikan rumahtangga adalah berguna kerana membawa kebaikan. Maka sini terbentuk pula keluarga, dan daripada keluarga ini terbentuk pula masyarakat seterusnya negara.

Pandangan Kedua: Namun dari sudut lain, bercinta dianggap tidak berguna dan tidak membawa kepada kebaikan. Ber-couple dan bercinta seperti ini tidak menjadi mukaddimah pada perkahwinan sebaliknya mukaddimah pada melahirkan anak luar nikah atau mencampakkan anak yang tidak berdosa ke dalam tong sampah dan longkang. Bercinta seperti ini dilarang dan diharamkan dalam Islam. Selain itu perlu diingatkan juga bahawa tindakan seseorang itu ber-couple dan bercinta itu biasanya bertitik tolak daripada perasaan dan emosi, maka dengan itu mudah sekali terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak baik. Oleh itu sesiapa sahaja yang berhadapan dengan ajakan perasaan dan emosi untuk ber-couple dan bercinta perlu berusaha sedaya upaya mengunakan kewarasan akal. Malah sebagai seorang muslim kita juga perlu mengelak daripada konteks fizikal atau luaran yang boleh mencetuskan keghairahan seks yang seterusnya menyebabkan berlaku perlanggaran hukum Allah Taala iaitu perzinaan.

Dalam hal ini adalah amat perlu setiap individu muslim berpegang kepada tanggugjawab menjaga dan memelihara aurat kerana persoalan keghairahan seks mempunyai hubungkait yang amat besar untuk berlakunya perzinaan. Jawapannya ada dalam diri anda dengan menggunakan pertimbangan akal yang sihat, kaji selidik dan pertimbangan Iman yang mana bertepatan dengan ajaran Islam. Manusia yang diamanahkan Allah Taala sebagai khalifah di muka bumi ini perlu meneruskan
survivaldan kemandiriannya sehingga ke hari kiamat. Kemungkinan jika manusia tidak bercinta (tidak semua), kita akan pupus di dunia dan sudah tentu menyalahi amanah Allah Taala itu. Tetapi jika bercinta itu membawa ke arah kebinasaan, maka menjauhinya adalah sebaik-baik tindakan. Kebiasaan mengundang kebinasaan.

Hukum Menyanyi Lagu-lagu Kasih

Terdapat beberapa riwayat menceritakan Nabi Muhammad S.A.W membenarkan hamba menyanyikan lagu berbentuk kasih (jiwa) dipanggil ghazl. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah S.A.W menyuruh Aesyah menghantar seorang hamba yang pandai menyanyi lagu ghazl kepada pengantin kaum Ansar yang menjadi kerabat Aesyah. Ini kerana menurut Nabi, kaum Ansar ada keramaian termasuk mendendangkan lagu-lagu ghazl. Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kaum Ansar adalah kaum yang ada pada mereka ghazl” (Hadith riwayat Ibnu Majah)
Ghazl bermaksud mengurat tetapi ghazl dalam beberapa hadith Nabi bermaksud mendendangkan lagu-lagu cinta yang sunyi daripada kata-kata baik dan sebagainya. Dalam hadith lain, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah S.A.W menginggatkan supaya seorang penyanyi keluarga baginda bernama Anjasyah supaya jangan terlalu melampau mendendangkan lagu-lagu yang mengandungi unsur-unsur tentang cinta.

Islam Dan Cinta

Islam adalah agama yang membawa matlamat cinta. Cinta kepada Allah, cinta kepada Rasul, cinta kepada negara dan cinta sesama manusia. Sebab itulah Rasulullah S.A.W menekankan dalam mendidik anak-anak daripada kecil lagi diterapkan soal cinta. Dalam sebuah hadith: Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Tanamkan dalam diri anak-anak kamu rasa cintakan Allah, cintakan Rasul, cintakan ahli keluarga Rasulullah dan cintakan membaca Al Quran” (el Hadith) Ini menunjukkan cinta itu suatu yang penting diterapkan dalam diri setiap muslim sehinggakan Nabi S.A.W bersabda bahawa tidak masuk syurga sehingga kamu belajar cinta-mencintai diantara satu sama lain.

Remaja bercinta bukan suatu perkara yang melanggar fitrah. Ia satu fitrah tetapi perlu diaturkan bagaimana cara mereka bercinta. Cinta tidak boleh berdasarkan emosi semata-mata. Remaja mesti ada rasa tanggungjawab. Manakala dalam hal lain dan bukti dimana cinta dibolehkan mengikut panduan kisah Nabi Yusuf a.s dan Zulaikha boleh dijadikan panduan. Allah Taala menyebut dalam Al Quran: Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu, kalaulah dia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu)” Yusuf (12:24)
Nabi Yusuf a.s berjaya mengawal diri dari terjerumus dalam cinta yang membawa jenayah zina. Islam menggariskan beberapa panduan dalam menjaga tatasusila masyarakat terutama hubungan antara lelaki dan perempuan, antaranya:
(1) tidak dibenarkan pergaulan bebas.
(2) tidak duduk berdua-duaan tanpa mahram.
(3) menjaga adab pertuturan dan berpakaian.
(4) menjaga pandangan mata.
(5) ikhlas untuk mengambil sebagai isteri.

Dalam keadaan ini berpasangan dan percintaan dibenarkan.
Kesimpulan: Secara umumnya perasaan kasih dan sayang termasuk dalam prinsip dan nilai yang terbaik yang diterima Islam. Kehidupan di dunia menjadi aman dan bahagia apabila makhluk yang ada saling kasih mengasihi antara satu sama lain. Allah Taala sendiri bersifat Rahman (Pemurah) dan Rahim (Pengasih). Islam membahagikan perasaan kasih sayang manusia kepada beberapa peringkat termasuk kepada keluarga, ibu bapa, anak-anak, jiran, bangsa, negara dan Agama. Termasuk dalam kategori cinta juga ialah cinta kepada Allah dan Rasul. Cinta pada Allah ialah cinta hamba kepada Penciptanya dan cinta kepada Rasul ialah pembimbing manusia sejagat kepada Allah dan agama-Nya.

Peganglah Api Bila Teringatkan Zina

Ada seorang pemuda soleh yang sangat patuh kepada perintah agamanya dan sentiasa menjaga diri daripada segala rupa maksiat dan keburukan,sehingga pada suatu malam terlintas di dalam hatinya hendak berzina dengan seorang gadis jelita kerana terpesona dengan kejelitaannya.

Kebetulan pada ketika itu, disampingnya ada sebuah
pelita yang sedang baru dinyalakan untuk menerangi rumah pemuda soleh itu. Maka dia pun terus menajamkan pandangannya kepada api yang sedang bernyala-nyala pada sumbu pelita itu. Kemudian dia berbisik pada dirinya sendiri:

''Engkau mengajak aku melakukan perbuatan terkutuk dengan wanita itu? Baiklah, aku akan letakkan jariku ini di atas sumbu pelita yang menyala itu. Kiranya ia tahu panasnya, nescaya aku akan turutkan kemahuanmu itu.''

Maka pemuda soleh itu pun meletakkan jarinya di atas sumbu tadi. Dan dia cuba menahan diri daripada kepanasannya, sehingga hampir-hampir nyawanya akan tercabut kerana tidak tahan panas yang dideritanya itu. Lalu dia berteriak:

''Wahai diriku,tahniahlah engkau! Rupanya engkau tidak tahan,padahal api dunia itu tersangatlah sejuk berbanding api neraka. Kalau hanya menghadapi api dunia, engkau sudah tidak tahan,apatah lagi menghadapi api neraka yang panasnya berkali-kali ganda lebih dasyat dari api dunia ini."

Lalu orang soleh itu pun berpaling daripada niatnya yang mula-mula tadi. Sejak peristiwa itu hatinya tidak pernah diganggu lagi oleh lintasan buruk seperti itu.



Surah An-nisa,ayat 31:

"Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga)."

Surah Al-Israak,ayat 32:

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

Mahar Hantaran : Adat vs Ibadat

“Jangan nak mengada-ngada, kalau hendak kahwin tunggu dia habis belajar, ada rumah, ada kerja, dan ada kereta. Kalau tak, selagi tu jangan harap mahu kahwin” Meleter si ibu kepada anak daranya yang sudah sampai masa mendirikan rumahtangga..

“Hantaran kena sembilan dulang, RM1000 serba satu. Kenduri buat di hotel lima bintang, siap dengan siaran eksklusif dari tv10” Ayat-ayat yang biasa didengar.

Tergaman dibuatnya.

Masyarakat kita sekarang terbelenggu dengan masalah suka mengubah sesuatu ibadah menjadi adat dan budaya yang mendarah-daging. Kadang-kadang sesuatu yang mudah pada asalnya, tiba-tiba menyulitkan keadaan yang mana melahirkan banyak kesan samping yang membimbangkan.

Isunya yang diutarakan, ibu bapa sanggup menjual anak perempuan semata-mata kerana keadaan sekeliling memaksa bukannya menitikberatkan keperluan syari‘at tersebut. Yang hendak kahwin si anak, banyak pula karenah ‘birokrasi’ daripada ibu bapa.

Hikmahnya ditinggalkan.

Apabila acuan material terbentuk di dalam minda masyarakat, mahar hantaran menjadi tinggi sehingga membawa implikasi buruk kepada teruna dan dara. Si ibu memohon mahar yang tinggi seolah-olah menggali lubang durjana untuk anak gadis mereka dan diri sendiri.

Di Malaysia, mahar (mas kahwin) rasanya tidak susah nak dipenuhi. Tapi hantaran yang boleh buat turun berat badan kerana terpaksa mengikat perut. Daripada pengalaman melihat dan mendengar,
kadangkala harga hantaran diletak tinggi dengan sengaja bukan kerana keperluan tetapi sindrom ‘segan’ kepada orang sekeliling.

Bagai terlupa perkahwinan bukan satu hari hanya di hari kenduri sahaja, tapi sampai detik nyawa terpisah daripada jasad, semua ini dipandang remeh.
Kehidupan selepas kahwin juga memerlukan akaun kewangan kukuh.

JANGAN ADATKAN IBADAT

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang diantara kamu dan orang-orang yang layak berkahwin dari hamba yang lelaki dan hamba perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memampukan (menjadikan kaya) mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui” an-Nur (24:32)

Bagi wanita yang mempunyai kesedaran dan mampu mempertahankan prinsip ajaran sabda Nabi s.a.w maka perlulah buktikan bahawa mereka mampu melawan adat.

Sayang sekali, kita asyik ulang kalimah melawan arus adat, tetapi jarang kita ambil pegangan mengikut pegangan agama.
Mahar yang sedikit bukan merendahkan martabat, malah meninggikan martabat seseorang wanita di sisi agama.

Bayangkan pahala dan jaminan keberkatan yang didapati sehari demi sehari sebaik sahaja terlafaznya akad nikah dan bergelar isteri. Urusan tambahan hadiah dan wang hantaran yang membebankan pihak lelaki yang menyediakan dan juga pihak wanita yang menunggu perlu ditangani.

Kenapa tidak ditukar pemberian hadiah ini setelah berkahwin, satu bulan satu hadiah sebagai pengikat kasih sayang di antara suami isteri. Tidak perlu mahal, asalkan ikhlas dan berterusan. Biar pun kita tidak mempunyai peruntukan untuk menetapkan kadar maksimum mahar, setiap ibu bapa terutamanya ibu harus sedar bahawa mahar itu adalah hadiah suami kepada isteri, dan bukannya harga yang ditebus oleh seorang lelaki bagi mendapat seorang perempuan dari ibu dan bapanya.

Mahar bukan harga jualan.

Jangan adatkan sesuatu ibadah, nanti jenuh untuk lunaskan. Jangan terkejut jika ada ternampak warga ‘terlajak’ umur antara lingkungan 40-45 tahun yang menolak stroller di taman-taman rekreasi, pasar raya kerana menunggu lama simpanan penuh sebelum dapat kahwin
.

TERBITNYA MASALAH LAIN

Sebenarnya masalah couple atau maksiat hati, mata dan sebagainya bukanlah masalah pokok, masalah ini terbit dari masalah yang lain.

Apabila budaya kita yang mempersulitkan bangsanya untuk mendirikan masjid, dengan hantaran dan mas kawin yang mahal-mahal, sehinggakan dengan belanja kahwin seseorang itu mampu memiliki sebuat rumah maka tidak hairanlah ramai yang berbondong memilih untuk bercouple dahulu.

Berjuang untuk memudahkan urusan perkahwinan juga merupakan suatu ibadah, secara tidak langsung menutup satu alasan kenapa perlu bercouple.

Umumnya di barat pergaulan bebas dan seks sebelum perkahwinan adalah satu budaya yang lumrah dan bukan lagi rahsia. Malah, sesuatu yang janggal sekiranya seseorang itu masih dara setelah berusia tujuh belas tahun. Mereka lebih suka jika isterinya sudah ada pengalaman seks sebelum berkahwin supaya tidak perlu dia mengajarkannya lagi apabila mereka berkahwin nanti.

Jangan kita lupa, masyarakat di negara kita pun sekarang tidak jauh bezanya. Menghalakan pergaulan bebas, berpelesaran lelaki dan perempuan. Tidak mustahil gejala seks bebas tidak pernah berlaku.

Tugas berat ini terletak di bahu kita sekarang sebagai ad-Da’ie. Mulakan di kampus pengajian kita, tempat kerja untuk mengubah suasan tidak sihat ini. Alhamdulillah, inilah kemuliaan mukmin yang mendamba sakinah, mawaddah dan rahmah melalui ikatan perkahwinan. Mudah-mudahan mahar dan hantaran mahal tidak akan menjadi musibah merbahaya yang akhirnya membawa kepada kehancuran nilai-nilai murni dalam masyarakat seperti di atas.

Petiklah Bunga Itu Wahai Kumbang Sakti!

Bunga mekar di taman larangan
Elok kelopaknya, elok harumannya
Dijaga rapi Sang Penjaga
Dihias tertib tiada tercela

Aku menyaksikan bunga itu kembang
dan aku juga menyaksikan bunga itu layu.
Lantas! Siapa yang harus kupersalahkan?
Bunga itu? Atau kamu sang kumbang?
Atau kamu?

Tika bunga itu mula menjalar indah ke hentian tertinggi,
kau datang merampas langkahnya.
Kau datang menghalang Cintanya.
Ya!
Kamu datang menghalang cintanya
pada Raja Segala Cinta.
Masakan tidak kamu ketahui?
Cintanya itu milik Raja Segala Cinta!
Kamu tahu itu?
Kamu sedar itu?
Bukankah kamu kumbang sakti?
Mengapa tegar untukmu
merampas dan merosak cintanya pada Si Dia?

Kamu datang membawa sejuta janji
Kamu datang membawa sejuta pengharapan
Dia itu bunga, wahai kumbang.
Dia itu bunga.
Disentuh oleh tangan asing, layulah dia
Dibuai cerita angkasa melangit, terbanglah dia.

Jangan kau gantung dia tiada bertali
Jangan kau biarkan dia lemah tiada hati
Jika benar kamu kumbang sakti, bunga itu tidak perlu tersungkur.
Petiklah dia.
Secepatnya.
Lekas! Jangan sampai bunga itu hilang seri
Saktimu dan serinya akan mengembalikan cahaya alam buana ini.
Bukankah itu ajaran Rasul kita?
Bukankah itu mengelakkan kemurkaan Tuhan kita?
Dari kamu berterus-terusan menghentak kaki, ego tiada bertepi, lekaslahhh..
Petik bunga itu dan berlarilah kamu di syurga nanti

Aku sayangkan bunga
dan kamu wahai kumbang
Cinta mana yang harus kusumpah menjadi racun?
Cinta yang membuatkan bunga dan kumbang tenggelam di alam fantasi.

Siramkan air dan baja
Mentari! Pancarkan cahaya!

Sempurnakan ia mengikut acuan yang sudah ditetapkan
Jangan diambil racun berbisa andai taman syurga bisa jadi milik kalian berdua

Petik dia.
Mohon petunjuk Raja Segala Cinta
Minta restu kedua orang tua
Dan aku mendoakan sentiasa

bukan aku memaksa.
tapi aku terpaksa
sampai bila harus kau biarkan bunga itu terkulai di situ?
dia perlukan jawapan.
petik dia secepat yang kau mampu kumbang..
andai bunga itu yang hadir dalam petunjukNya
andai bunga itu yang tersenyum indah dalam mimpimu

andai kamulah kumbang sakti itu..
buktikan pada dunia kamu punya kuasa itu

Allah akan mempermudahkan segalanya.
Janji Allah itu pasti
^-^

*Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan
yang dikehendakiNya. *


Buatmu bunga,
dan bunga-bunga yang sedang mekar di taman-taman yang lainnya,
aku punya hadiah buat kalian..


(Surat Terbuka Seorang Ikhwan untuk Seluruh
Akhwat di Dunia)

Ukhtifillah,
Mungkin aku memang tak romantis tapi siapa
peduli?
Karena toh kau tak mengenalku dan memang tak
perlu mengenalku.
Bagiku kau bunga, tak mampu aku samakanmu
dengan bunga terindah sekalipun.
Bagiku manusia adalah makhluk yang terindah,
tersempurna dan tertinggi.
Bagiku dirimu salah satu dari semua itu,
karenanya kau tak membutuhkan persamaan.

Ukhtifillah,
Jangan pernah biarkan aku manatapmu penuh,
karena akan membuatku mengingatmu.
Berarti memenuhi kepalaku dengan inginkanmu.
Berimbas pada tersusunnya gambarmu dalam tiap
dinding khayalku.
Membuatku inginkanmu sepenuh hati, seluruh jiwa,
sesemangat mentari.
Kasihanilah dirimu jika harus hadir dalam khayalku
yang masih penuh Lumpur.
Karena sesungguhnya dirimu terlalu suci.

Ukhtifillah,
Berdua menghabiskan waktu denganmu bagaikan
mimpi tak berujung.
Ada ingin tapi tak ada henti.
Menyentuhmu merupakan ingin diri, berkelebat
selalu, meski ujung penutupmu pun tak berani
kusentuh.
Jangan pernah kalah dengan mimpi dan inginku
karena sucimu kaupertaruhkan.
Mungkin kau tak peduli
Tapi kau hanya menjadi wanita biasa di hadapanku
bila kau kalah.
Dan tak lebih dari wanita biasa.

Ukhtifillah,
Jangan pernah kautatapku penuh
Bahkan tak perlu kaulirikkan matamu untuk
melihatku.
Bukan karena aku terlalu indah, tapi karena aku
seorang yang masih kotor.
Aku biasa memakai topeng keindahan pada wajah
burukku, mengenakan pakaian sutra emas.
Meniru laku para rahib, meski hatiku lebih kotor
dari Lumpur.
Kau memang suci, tapi masih sangat mungkin kau
termanipulasi.
Karena kau toh hanya manusia-hanya wanita.

Ukhtifillah,
Beri sepenuh diri pada dia sang lelaki suci yang
dengan sepenuh hati membawamu kehadapan
Tuhanmu.
Untuknya dirimu ada, itu kata otakku, terukir dalam
kitab suci, tak perlu dipikir lagi.
Tunggu sang lelaki itu menjemputmu, dalam
rangkaian khitbah dan akad yang indah.
Atau kejar sang lelaki suci itu, karena itu adalah
hakmu, seperti dicontohkan ibunda Khadijah.
Jangan ada ragu, jangan ada malu, semua terukir
dalam kitab suci.

Ukhtifillah,
Bariskan harapanmu pada istikharah sepenuh hati ikhlas.
Relakan Allah pilihkan lelaki suci untukmu,
mungkin sekarang atau nanti,
bahkan mungkin ti
ada sampai kau mati.
Mungkin itu berarti dirimu terlalu suci untuk semua lelaki di fana saat ini.
Mungkin lelaki suci itu menanti di istana kekalmu,
yang kau bangun dengan segala kekhusyu'an
tangis do'amu.

Ukhtifillah,
Pilihan Allah tak selalu seindah inginmu, tapi itu
pilihan-Nya.
Tak ada yang lebih baik dari pilihan Allah.
Mungkin kebaikan itu bukan pada lelaki yang
terpilih itu, melainkan pada jalan yang kaupilih,
seperti kisah seorang wanita sudi di masa lalu
yang meminta ke-Islam-an sebagai mahar pernikahannya.
Atau mungkin kebaikan itu terletak
pada
keikhlasanmu menerima keputusan Sang Kekasih Tertinggi.
Kekasih tempat kita memberi semua cinta dan menerima cinta
dalam setiap denyut nadi kita.
---

jika Allah sudah meredhainya,
petiklah bunga itu wahai kumbang sakti
moga sayap kiri itu akan membantu dirimu di atas jalan ini