Rabu, 3 Mac 2010

Berdepan Dengan Bakal Isteri Dan Ibu

Artikel dipetik daripada buku "Nota Hati Seorang Lelaki"


Masih teringat kata-katanya sewaktu saya meminta nasihat tentang panduan mendidik anak perempuan. Maklumlah, majoriti anak-anak saya lelaki. Adakalanya bagai ketandusan idea dan cara untuk berdepan dengan kerenah anak perempuan

“Perlu banyak meraikan”.

Begitu kata Tok Wan apabila ditanya tentang tip mendidik anak perempuan.

“Meraikan bagaimana?”

“Raikan mereka dengan kata-kata, belaian dan pemberian. Itu caranya.”

“Maksudnya?”

“Hargai pandangan, kegembiraan, kesedihan, kejayaan dan kegagalannya. Selalu ucapkan tahniah, takziah, pujian dan pujukan. Pada ketika yang sesuai, berilah hadiah.”

“Kenapa Tok Wan?”

“Umumnya perempuan makhluk perasaan berbanding lelaki makhluk akal. Pendekatan meraikan lebih berkesan bila berdepan dengan perasaan. Pendekatan ini lebih menyentuh dan berkesan.”

“Itu pendekatannya, bagaimana pula prinsip asasnya?”

“Wah, kau bertanya, macamlah Tok Wan ni seorang profesor!”

Tok Wan bergurau. Sejenak kemudian, sambil tersenyum dia berkata, “Itu kena bayangkan…bakal isteri. Kemudian, bakal ibu!”

Wah, Tok Wan dah mula bersilat kata! Saya perlu lebih kritis menyoalnya.

“Bayangkan isteri? Isteri saya?” usik saya.

“Anak perempuan kita bakal seorang isteri. Jadi bayangkan bagaimana sifat seorang isteri sejati. Itulah “end in mind” yang perlu sewaktu mendidik anak perempuan,” jelas Tok Wan yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan Barat itu.

Belum sempat saya mencelah, soalan Tok Wan mula menerjah, “Apa kau inginkan daripada seorang isteri?”

“Ketaatan”, balas saya cepat.

“Lalu didiklah anak perempuan tentang ketaatan. Latih agar dia patuh pada perintah yang baik. Apa lagi?”

“Malu.”

“Didik supaya dia mengekalkan rasa malu pada tempat dan ketikanya. Latih dia sentiasa menjaga aurat, tidak meninggikan suara dan tidak lasak pada gerak fizikalnya. Ajar erti maruah dan harga diri. Lagi?”

“Cantik….”

“Wah, tak lupa ya….Latih supaya dia menjaga kecantikan, tingkah laku, wajah, pakaian, tempat tinggal, bilik dan lain-lain. Biar dia pandai menjaga kekemasan, kecantikan dan keindahan. Biar dia peka dengan nilai-nilai estetika. Lagi?”

Saya diam. Dalam ruang fikiran tergambar isteri saya - ibu anak perempuan saya.

“Kau lupa agaknya…” usik Tok Wan.

“Tok Wan laju sangat….”

“Anak perempuan mesti dibiasakan suka berada di rumah.Bukan bermakna dia tidak boleh keluar, tapi biasakan dia suka di rumah. Rumah adalah gelanggang wanita. Ruang itu kecil tapi besar peranannya. Ketika suami keluar, isterilah pemimpin anak-anak dan pelindung hartanya.”

“Ini payah Tok Wan, sekarang ini perempuan dah luas gelanggangnya!”

“Ah, kekadang yang luas hanya gelanggangnya, tapi kecil peranannya. Sedangkan di rumah walaupun kecil gelanggangnya, tapi amat besar peranannya. Pernah dengar madah, tangan yang mengayun buaian boleh menggoncang dunia?”

“Tadi Tok Wan kata, kena bayangkan juga bakal ibu.”

“Apa yang paling kau hargai daripada seorang ibu?”

“Kasih sayangnya.”

“Didiklah agar anak perempuan agar bersifat pengasih. Pengasih dengan adiknya, abang, kakak, binatang peliharaan dan sebagainya. Sebab itu anak perempuan digalakkan bermain dengan anak patung. Itu menyuburkan rasa kasih sayang kepada bayi. Lagi?”

“Sabar.”

“Seorang ibu perlu sabar; sabar menanggung perit kehamilan, sakit melahirkan, menjaga sakit-demam, ragam dan kerenah anak. Tanamkan sifat sabar anak perempuan dalam menanggung kesakitan, keletihan, kekecewaan dan sebagainya.”

“Mana lebih payah didik anak perempuan atau anak lelaki?” tanya saya. Dia senyum sinis. Terasa bodoh pula menyoal begitu.

“Soalan itu tidak betul! Sepatutnya soalannya begini, ada beza tak antara mendidik anak lelaki dengan anak perempuan? Senang dan susah itu terlalu relatif dan subjektif sifatnya.”

“Beza tak?” pintas saya penuh akur.

“Tentulah, sebab lelaki dan wanita memang berbeza. Tuhan jadikan darjat kedua-duanya sama, tapi peranannya berbeza. Bukan sahaja ciri-ciri fizikal berbeza tetapi ciri-ciri rohaniahnya jua.”

“Kata orang bela lembu 10 ekor lebih mudah daripada seorang anak perempuan.”

“Perbandingan yang tak relevan. Manusia berbeza dengan lembu. Kita ada hati, akal dan perasaan.”

“Tapi tak ada yang kata membela 10 ekor lembu lebih mudah daripada seorang anak lelaki…”

“Terpulang pada “gembala”nya. Kena gaya dan caranya, 10 orang anak perempuan pun boleh dijaga.”


“Apa tip Tok Wan untuk Sang Gembala?”

“Bila berdepan dengan anak perempuan, bayangkan kita berdepan dengan bakal isteri. Adakah menantu lelaki kita nanti akan mendapat isteri yang solehah? Bayangkan kita berdepan dengan bakal ibu, adakah cucu kita kelak bakal mendapat ibu yang mithali?”

“Lagi Tok Wan?”

“Untuk menjadi seorang ayah yang baik kepada anak perempuannya, Sang Gembala mestilah menjadi seorang anak yang baik kepada ibunya dan suami yang baik kepada isterinya!”

“Lagi Tok Wan?”

Last but not least, Sang Gembala wajib baik kepada Tuhannya!”

Saya terdiam. Diam yang panjang. Perlukah saya menyoal lagi?

Isnin, 1 Mac 2010

Solat Qadha';Hutang Yang Wajib Bayar

Siapa yang makan cili, dia lah yang merasa pedas. Mungkin ada yang terasa bila aku menulis tentang hukum meninggalkan solat.

Solat qada’ ialah solat yang dikerjakan selepas keluar dari waktunya.

Hukum qada’ solat
Meninggalkan solat fardhu atau melengah-lengahkannya tanpa apa-apa uzur hingga terkeluar dari waktunya adalah berdosa besar, dan wajib diqada’kan solat itu.

Para ulama menghukumkan wajib qada’ solat bagi orang yang meninggalkan solat dengan sengaja berdasarkan kepada orang yang ada uzur syar’ie diwajibkan qada’ solatnya oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi orang yang tiada keuzuran syar’ie sudah tentu lebih-lebih lagi wajibnya.

Tetapi dosa itu pula tidak terhapus dengan qada’ semata-mata, mestilah disertakan dengan bertaubat kepada Allah s.w.t.

Seseorang yang meninggalkan solat fardhu pada waktunya kerana sengaja, maka wajiblah dia qada’ solatnya dengan segera.

Solat fardhu yang tertinggal kerana uzur seperti tertidur atau terlupa yang bukan kerana kecuaian maka sunat disegerakan qada’nya.

Maksud kecuaian di sini ialah seperti tidur dalam waktu dan lupa yang disebabkan oleh leka dengan perkara-perkara yang tidak dituntut oleh syarak.

Menurut Ibnu Haja al-Haitami,

Orang yang meninggalkan solat tanpa uzur, WAJIB menggunakan seluruh waktunya untuk mengerjakan qada’ solatnya kecuali waktu untuk menguruskan hajatnya yang wajib yang tidak dapat dielakkan, seperti tidur, buang air, mencari nafkah, dan sebagainya.

Haram baginya mengerjakan solat sunat sebelum diqada’kan solatnya.

Tetapi menurut Habib Abdullah al-Haddad pula,

Orang yang meninggalkan solat tadi diberi kelonggaran untuk mengerjakan qada’ solat fardhunya mengikut kemampuan dan kelapangan masanya, tanpa memberatkan dan tanpa pula meringan-ringankan kewajipan qada’ itu sendiri.

Kemudian Syed Abdul Rahman Balawi telah bersetuju dengan pendapat Habib Abdullah al-Haddad, dengan berkata,

Inilah pendapat yang terlebih utama berbanding dengan pendapat para fuqahak yang mewajibkan orang yang meninggalkan solat tadi menggunakan seluruh waktunya untuk qada’ solatnya kecuali waktu untuk menguruskan hajatnya yang wajib.

Beliau berkata demikian kerana pendapat para fuqahak tersebut amat membebankan sekali.

Cara Qada’ Solat
Adalah diwajibkan mendahulukan qada’ solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat tunai (solat pada waktu) sekiranya tidak dibimbangi habis waktunya.

Tetapi sekiranya solat qada’ yang ditinggal itu adalah kerana uzur maka hanya sunat sahaja mendahulukan qada’ daripada tunai.

Adalah diwajibkan juga mendahulukan qada’ solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat yang ditinggalkan dengan uzur.

Begitu juga wajib mendahulukan qada’ solat yang ditinggal tanpa uzur daripada solat sunat rawatib tetapi sekiranya solat qada’ yang ditinggalkan itu kerana uzur maka hanya sunat sahaja mendahulukan solat qada’ daripada solat sunat rawatib.

Kemudian lagi disunatkan qada’ solat itu menurut tertib waktu solat seperti diqada’kan Zuhur sebelu Asar, dan begitulah seterusnya.

Malahan tertib itu sunat dipelihara walaupun waktu-waktu qada’ solat itu diselangi atau terputus oleh tempoh masa yang lama.

Walau apa pun, ingatlah – hutang WAJIB dibayar. Wallahu a’lam.

Panduan menunaikan solat setelah lama meninggalkannya

Tidak dinafikan ramai umat Islam zaman sekarang yang tidak mengerjakan solat.

Tapi aku percaya ramai di antara mereka pernah dididik tentang kewajipan solat dan pernah mengerjakannya.

Mungkin akibat kelekaan duniawi, ibadah suci itu telah terperosok, jauh di dalam lubuk hati, sama ada sedar atau pun tidak.

Yang nyata, aku tidak pernah berasa benci atau marah kepada mereka yang tidak mengerjakan solat, apatah lagi untuk memandang hina golongan ini.

Kerana solat itu sendiri adalah soal hati dan keikhlasan. Tanpa keikhlasan, tak mungkin perbuatan solat itu mencapai maksudnya.

Namun begitu, janganlah kita berasa selesa dengan kejahilan. Jangan pula berasa bangga dengan ilmu dan amalan. Sebaliknya, berazam dan berusahalah untuk mengerjakannya dengan istiqamah di samping memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Untuk mengingatkan diri aku sendiri dan para pembaca Soleh.Net, izinkan aku berkongsi panduan tentang teknik motivasi memulakan solat setelah lama meninggalkannya.

1. Sematkan azam, bulatkan tekad
Sebaik sahaja tersedar dari lamunan (sedar rupanya dah lama tinggal solat), cuba fikir sedalam mungkin tentang apa yang anda lakukan, apa yang tak sepatutnya anda lakukan, dan apa yang sepatutnya anda lakukan.

Dari situ, tanam keazaman yang kukuh bahawa anda ingin mengerjakan solat, dan tidak akan meninggalkannya sampai bila-bila. Kerana itulah tujuan anda hidup di atas muka bumi ini sebenarnya.

2. Cari masa dan tempat yang sesuai, sunyi, jauh dari dugaan
Kemudian tetapkan masa di mana anda akan mula menjalani kehidupan sebagai seorang yang mengerjakan solat. Lebih cepat lebih baik. Ingatlah, berdosa besar bagi orang yang melengah-lengahkan solat.

Sebaiknya, cari tempat yang sunyi dan jauh dari dugaan. Jauhi rakan-rakan yang tidak solat atau suka mengejek, sekurang-kurangnya untuk waktu itu sahaja. Masjid juga adalah tempat yang baik.

3. Solat sekali dahulu, baru ada kali kedua
Walau sekuat mana pun azam, sebulat mana pun tekad, sebaik mana pun masa dan tempat, tanpa solat yang pertama, takkan jadi solat yang kedua dan seterusnya.

Oleh itu, mulakan sahaja tanpa berlengah. Bak kata iklan NIKE – Just do it!

4. Buat nota peringatan dan galakan
Kalau ada masa dan semangat yang berkobar-kobar, tuliskan kata-kata peringatan dan galakan di atas sehelai kertas (besar atau kecil).

Kemudian yang besar tampal di dinding, manakala yang kecil diletakkan dalam wallet atau poket baju.

Tips ini mungkin kurang sesuai jika anda tinggal bersama rakan-rakan yang tidak mengerjakan solat. Dibimbangi ada yang kata anda nak tunjuk bagus.

5. Fahami maksud setiap bacaan dalam solat
Jika anda kurang bersetuju dengan point ini, saya nasihatkan supaya cuba dahulu. Anda pasti akan merasai kelainannya.

Bukan faham satu-satu ayat, tetapi satu-satu perkataan. Di situ akan bermula keindahan solat, di mana anda akan rasa seolah-olah khusyuk itu mula hadir dalam diri semasa mengerjakan solat.

6. Baca perlahan-lahan mengikut tertib
Sewaktu solat, baca perlahan-lahan untuk meningkatkan rasa manis, indah dan seronok.

7. Tingkatkan imaginasi
Sewaktu menghayati maksud, tingkatkan imaginasi anda. Bayangkan keindahan bertemu Allah yang menjemput kita untuk sujud kepada-Nya.

8. Doa mohon kekuatan dan sokongan
Panjatkan doa kepada Allah s.w.t dengan memohon kekuatan dan sokongan untuk berubah menjadi hamba-Nya yang taat. Hendaklah diamalkan sejurus selepas setiap kali solat.

9. Tumpu perhatian pada hari-hari yang dilalui
Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui dengan mengerjakan solat. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengerjakan solat.

10. Dapatkan adrenaline sewaktu mendengar azan
Adrenaline
boleh digunakan sebagai pembantu dengan memberi suatu kejutan semangat yang berkobar-kobar untuk terus pergi menunaikan solat tanpa berlengah-lengah.

Jika anda dapat menanam adrenaline ini sehingga menjadi tabiat, anda pasti akan meninggalkan segala kerja yang anda lakukan, apabila terdengar sahaja azan berkumandang. Best tak?

11. Berfikir secara positif
Fikirkan diri anda sebagai seorang yang mengerjakan solat sebaik sahaja anda memulakannya dan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian.

Sekiranya ada rakan anda yang mengajak anda ke mana-mana sebelum sempat anda menunaikan solat, katakanlah saya belum bersolat, tunggu sebentar atau pergi dahulu.

Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk mengerjakan solat.

12. Dapatkan sokongan mental dan rohani
Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah mula mengerjakan solat dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka.

Mintalah rakan-rakan anda yang tidak mengerjakan solat supaya menghormati keputusan anda.

13. Lawan kemalasan dalaman dan godaan syaitan
Dari semasa ke semasa anda akan merasai suatu kemalasan, kebosanan, dan sebagainya, yang mana semua itu sebenarnya hanyalah godaan syaitan dan kemalasan diri sendiri.

Oleh itu lawanlah sehabis-habis mungkin. Ingatlah anda lawan ni pun tak lama. Lama kelamaan ibadah ini akan sebati juga dalam diri anda, dan tidak perlu dipaksa lagi.

14. Banyakkan bahan bacaan tentang solat
Kerapkan diri anda membaca kisah-kisah nikmat solat untuk membangkitkan semangat. Baca juga tentang dosa meninggalkan solat untuk membangkitkan rasa takut pada Allah s.w.t. Moga-moga dilimpahi rahmat dan keberkatan oleh-Nya.

Kesimpulan
Jika topik ini dirasakan tidak berkaitan dengan anda, ingatlah: Hari ini mungkin bukan hari anda. Esok lusa tiada siapa yang tahu. Diharap dapat dijadikan panduan kita bersama.

Sama-samalah kita saling memperingati sesama Islam.

Wallahu a’lam.

Rabu, 24 Februari 2010

Eksperimen Air, Kicap, dan Hati

Salam perjuangan buat saudara saudari sekalian. Apa khabar diri kalian? Apa khabar iman kalian?

Semoga sentiasa dalam jagaan kedua-duanya. Kalian sudah makan? Minum? Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah atas segala rezeki yang dikurniakanNya kepada kita.

Kali ini, mari sama-sama kita jalankan satu eksperimen sambil mendekatkan diri kepada Allah.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah gelas kaca, air masak, kicap, dan sehelai wang kertas.

Langkah 1:

Tuangkan air masak ke dalam gelas kaca sehingga lebih daripada separuh.

Langkah 2:

Ambil wang kertas dan lihat siri nombornya menerusi gelas berisi air tadi.

Caranya ialah dengan meletakkan wang kertas di bahagian belakang gelas, dan lihat menerusi gelas berisi air dari bahagian hadapan.


Langkah 3:

Sekiranya anda dapat melihat siri nombor wang kertas tersebut, catatkannya dan semak semula.

Langkah 4:

Fikirkan beberapa perbuatan dosa tidak kira dosa kecil atau pun dosa besar yang kerap atau pernah anda lakukan.

Langkah 5:

Sebutkan perbuatan dosa tersebut sambil titiskan kicap ke dalam gelas berisi air tadi.

Untuk setiap dosa kecil, titiskan kicap sekali sahaja, manakala untuk setiap dosa besar, titiskan sebanyak tiga kali. Untuk dosa kecil yang anda lakukan berulang kali, titiskan kicap sebanyak tiga kali sahaja.

Langkah 6:

Ulang langkah 2 dan 3 dengan menggunakan air yang telah dititiskan kicap tadi.

Bagi memastikan saudara saudari menjalankan eksperimen ini di rumah, keputusan eksperimen tidak akan disertakan di sini, tetapi saudara saudari sekalian perlu menyatakan keputusan eksperimen yang saudara saudari buat di bahagian komen untuk dikongsi bersama.

Selain keputusan, saudara saudari juga boleh nyatakan jenis-jenis dosa yang biasa kita buat serta nilai dan pengajaran yang boleh diambil daripada eksperimen tersebut.

Selamat mencuba! Lets do it!

Qailulah Yang Tersirat


Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi :
"Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah SallAllahu Alaihi wasallam ada melakukannya."

Imam Al Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata :
"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai satu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.

Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang
(day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.
Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca industri telah mendapati bahawa 92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti.
(Napping News : 'Scientific Proof Confirms : Napping Enhances Worker Productivity,' from eFuse)


Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai
'a midafternoon quiescent phase' atau 'a secondary sleep gate'.
Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini adalah Dr.William A.Anthony, Ph.D. dan Camille W.Anthony, pengarang buku
'The Art of Napping at Work'. Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavior and Medical Aspects of Napping'.

Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam.
(Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com)
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi SallAllahu Alaihi Wasallam rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.

Rahsia Sujud : Perkembangan Otak

Di dalam Majalah Buletin Bulanan MICNA, jurucakap persatuan ini membuat kenyataan bahawa;

"Darah akan memasuki bahagian urat tersebut mengikut kadar solat yang telah diwajibkan oleh Islam".

Ini diakui sendiri oleh seorang doktor neurologi di Amerika Syarikat yang telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban di dalam penyelidikannya itu. Doktor tersebut mendapati dalam kajiannya urat pada saraf manusia memerlukan darah untuk beberapa
sukatan tertentu sahaja.

Doktor neurologi tersebut tertarik untuk memeluk Islam semasa membuat kajian saraf yang dilakukan, iaitu terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia tidak dimasuki darah walaupun sepatutnya setiap inci otak manusia memerlukan darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.

Kini doktor tersebut memeluk Islam dan beliau telah membuka sebuah klinik yang bertemakan
"Perubatan melalui- Al-Quran". Beliau juga membuat ubat-ubatan berdasarkan kajian melalui Al-Quran dan Hadis Nabawi. Di antara kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black Seed).

Manusia yang tidak bersembahyang apatah lagi yang bukan Islam, walaupun akal mereka berfungsi secara normal tetapi sebenarnya mereka akan hilang pertimbangan apabila membuat keputusan secara normal.

Justeru itu, tidak hairan ada di antara manusia kadang-kadang tidak segan silu untuk melakukan perkara bertentangan dengan fitrah kejadiannya walaupun akal mereka mengetahui perkara yang akan dilakukan adalah salah.

"Ini kerana otak mereka tidak boleh mempertimbangkannya secara normal"

Untukmu Muhammad (Puisi sempena maulidur rasul)

Nur itu turun menerangi,
Membuka lipatan sejarah,
Makkah bersinar memalapkan api majusi,
Hamparan diri merendah sujud menghadap Ilahi,
Di bahu-Mu hujan maha lebat membasahi,
T
ugasan mendatang diiring sarat zikir malaikat,
Cakerawala tersenyum lambang diri kami,
Akulah kami penuh pengharapan.

Nur itu turun menerangi lagi,
Menyampaikan mukjizat kalam pertama, Iqra!!!
Muhammad diam...bungkam dalam kelamnya hira’,
Membalut lembar selimut meliputi tubuh,
Khadijah menggunung sayang mengusapi peluh,
Membuang segala makruh,
Lalu iqra’ pun mengalir,
Di bibir para sahabat,
Di lidah membasahi hati para syuhada’,
Dalam debu melingkar nurani anbia’,
Semesta terang menembus langit dipasak sinar al-quran dan as-sunnah,
Tumpah membasahi lautan ummah,
Akulah ummah.

Kini nur itu turun lagi menerangi,
Menghampar masa membuka gapura cerita,
Cerita sayu umatnya yang menderita,
Akulah ummat Muhammad,
Menghampakan Muhammad di sana yang menangis hiba.